Showing posts with label Takaful dan Kepentingannya. Show all posts
Showing posts with label Takaful dan Kepentingannya. Show all posts

Aug 17, 2010

Perbezaan Takaful dan Insurans

Perbezaan antara Takaful dan Insurans


Takaful dan Insurans mempunyai tujuan yang sama iaitu memberikan jaminan dan bantuan kepada peserta dalam bentuk kewangan. Namun di antara keduanya terdapat perbezaan yang besar. Perbezaan yang wujud dapat dilihat daripada beberapa sudut berikut:

1. Hukum

Perniagaan Takaful adalah halal dan umat Islam harus menyertainya sementara perniagaan insurans telah diputuskan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga majlis-majlis fatwa lain. Perniagaan insurans mengandungi unsur Riba, Maisir dan Gharar. Maka membeli polisi insurans dan segala hasil pendapatan daripada syarikat insurans adalah haram.

2. Kontrak asas yang digunapakai

Dalam Insurans konvensional kontrak yang digunapakai ialah kontrak pertukaran (Mu’awadat) iaitu dalam bentuk jual beli. Sementara Takaful menggunakan kontrak derma (Tabarru’)

3. Kontrak-kontrak lain

Dalam Insurans konvensional tidak terdapat kontrak-kontrak lain selain kontrak jual beli. Tetapi dalam Takaful, digunakan kontrak wakalah (agensi) dan kontrak Mudharabah (perkongsian untung rugi)

4. Tanggung jawab pemegang polisi

Peserta Takaful akan menyumbang caruman untuk saling menjamin di antara semua peserta sementara pembeli insurans akan membayar premium kepada penanggung insurans. Penyertaan Takaful merupakan satu akad di kalangan peserta tetapi pembelian insurans adalah satu kontrak di antara penginsurans dan pemegang polisi.

5. Saluran pelaburan

Pelaburan kumpulan wang Takaful akan dilaburkan melalui instrumen pelaburan yang diharuskan dan pelaburan ini hanya akan dilakukan ke atas syarikat-syarikat yang telah dikelaskan sebagai patuh Syariah. Penentuan ini adalah berdasarkan senarai patuh Syariah yang dikeluarkan oleh Suruhan Jaya Sekuriti (SC).

Pelaburan syarikat insurans pula adalah bebas kepada semua jenis instrumen tidak mengira sama ada halal atau tidak. Ini termasuklah pelaburan ke atas syarikat perjudian dan arak.

5. Perjalanan operasi

a. Syarikat Takaful mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang bertanggung jawab memberikan nasihat terhadap segala aktiviti termasuk pelaburan. Selain itu syarikat Takaful juga mempunyai unit Syariah yang berperanan sebagai sekretariat kepada Majlis Penasihat Syariah.

b. Pengendali-pengendali Takaful di Malaysia menggunakan dua model perniagaan Takaful iaitu model Mudharabah (perkongsian untung rugi) dan model Wakalah (agensi).

c. Segala hasil tidak halal yang diperolehi oleh pengendali Takaful tidak akan dikira sebagai pendapatan syarikat sebaliknya akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan. Syarikat insurans tidak mempunyai unsur ini.

d. Pengendali Takaful wajib membayar zakat perniagaan dan cukai tetapi syarikat insurans hanya membayar cukai.

6. Aspek perundangan

Pengendali Takaful tertakluk kepada Akta Takaful 1984 sementara syarikat insurans tertakluk kepada Akta Insurans 1963 (pindaan 1996).

Sebelum kewujudan Takaful, umat Islam terpaksa membeli polisi insurans. Tetapi kini dengan wujudnya banyak syarikat pengendali Takaful, maka ia bukan lagi menjad arternatif atau pilihan kepada umat Islam tetapi seharusnya umat Islam menolak insurans konvensional dan menyertai Takaful. Mudah-mudahan industri Takaful dan sistem kewangan Islam di Malaysia akan terus perkembang dengan subur agar dapat memartbatkan Syariat Islam yang syumul.

Sumber : http://ustazsaifudin.wordpress.com

Takaful, Ciri & Kepentingannya

DEFINISI TAKAFUL

‘Takaful’ ialah perkataan yang berasal dari bahasa Arab iaitu ‘kafala’ yang bererti untuk menjamin, menjaga atau memelihara. Oleh kerana ‘Takaful’ merupakan kata nama yang berasal daripada kata kerja ‘takafala’, maka ianya bererti ’saling menjamin, menjaga atau memelihara’.

Dari segi tafsiran Syara’ ia adalah pakatan satu kumpulan untuk saling jamin menjamin dan bantu membantu antara satu sama lain ketika para peserta kumpulan tersebut ditimpa sesuatu musibah.

Konsep saling menjamin atau insurans ini telah wujud sekian lama. Salah satu daripadanya ialah penggunaan konsep “Aqilah” yang digunapakai oleh masyarakat Arab jahiliyah. Keadaan bangsa Arab yang tinggal dalam bentuk kesukuan atau kabilah membolehkan amalan ini dilakukan. Sekiranya berlaku pergaduhan dan menyebabkan kematian satu pihak maka pihak yang membunuh akan dikehendaki membayar ganti rugi kepada keluarga orang yang terbunuh. Bayaran ganti rugi itu akan dikutip di kalangan ahli suku atau Kabilah si pembunuh. Ia merupakan satu bentuk jaminan yang wujud pada ketika itu.

Takaful yang wujud pada hari ini pula adalah Takaful berbentuk perniagaan (Tijari) di mana sebuah syarikat menjalankan satu bentuk perniagaan yang bertujuan untuk memberikan jaminan yang berlandaskan Syara’ iaitu terhindar daripada unsur Riba (bunga), Maisir (perjudian) dan Gharar (ketidakpastian). Untuk tidak terlibat dengan unsur-unsur tersebut, perniagaan Takaful menggantikannya dengan konsep Tabarru’ (derma) dan perjalanan operasinya menggunakan dua konsep muamalah Islam iaitu konsep “Mudharabah” dan “Wakalah”.

Dalam kontrak Takaful ini, peserta bersetuju untuk saling menjamin antara mereka. Ia berasaskan kepada sifat persaudaraan, kasih sayang dan saling bantu membantu. Dikatakan demikian kerana sumbangan wang yang diberikan oleh peserta akan dikumpulkan dan wang tersebut digunakan untuk membayar pampasan kepada peserta yang mengalami musibah atau kerugian.


CIRI-CIRI TAKAFUL


•Sistem Islam

•Sumbangan Tabarru’

•Pelaburan Halal

•Majlis Pengawasan Syariah

•Tiada Unsur Riba

•Tiada Unsur Maisir (Judi)

•Tiada Unsur Gharar (Tidak Jelas)

•Perkongsian Keuntungan (Al-Mudharabah)


KEPENTNGAN MENYERTAI SKIM TAKAFUL

Hadith Riwayat Bukhari : “ Tinggalkan anak-anak dan isteri-isteri kamu dengan kesenangan lebih baik dari tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta”

1. Simpanan, Pelaburan dan Perlindungan

2. Jaminan Perlindungan Masa Depan Ahli Keluarga

3. Perancangan Pendidikan Anak-anak ke IPTA/S

4. Jaminan Menunaikan Fardhu Haji

5. Perlindungan untuk Penyakit Kritikal

6. Mendapat Manfaat Elaun Hospital

7. Operasi Takaful dipantau sepenuhnya oleh Majlis Pengawasan Syariah

8. Pengharaman Insurans Konvensional Menurut Fatwa Kebangsaan

9. Perlu Bijak Dunia dan Akhirat

10. Bersih Zakat

11. Pengecualian Cukai sehingga RM 9,000.00

12. Menikmati Perkongsian Untung (Mudharabah)

13. Amal Jariah (Tabbaru'at) saling bantu-membantu

14. Perlindungan 24 Jam dan di Seluruh Dunia

15. Mendapatkan Keredhaan Dunia dan Akhirat