Aug 17, 2010

Perbezaan Takaful dan Insurans

Perbezaan antara Takaful dan Insurans


Takaful dan Insurans mempunyai tujuan yang sama iaitu memberikan jaminan dan bantuan kepada peserta dalam bentuk kewangan. Namun di antara keduanya terdapat perbezaan yang besar. Perbezaan yang wujud dapat dilihat daripada beberapa sudut berikut:

1. Hukum

Perniagaan Takaful adalah halal dan umat Islam harus menyertainya sementara perniagaan insurans telah diputuskan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan juga majlis-majlis fatwa lain. Perniagaan insurans mengandungi unsur Riba, Maisir dan Gharar. Maka membeli polisi insurans dan segala hasil pendapatan daripada syarikat insurans adalah haram.

2. Kontrak asas yang digunapakai

Dalam Insurans konvensional kontrak yang digunapakai ialah kontrak pertukaran (Mu’awadat) iaitu dalam bentuk jual beli. Sementara Takaful menggunakan kontrak derma (Tabarru’)

3. Kontrak-kontrak lain

Dalam Insurans konvensional tidak terdapat kontrak-kontrak lain selain kontrak jual beli. Tetapi dalam Takaful, digunakan kontrak wakalah (agensi) dan kontrak Mudharabah (perkongsian untung rugi)

4. Tanggung jawab pemegang polisi

Peserta Takaful akan menyumbang caruman untuk saling menjamin di antara semua peserta sementara pembeli insurans akan membayar premium kepada penanggung insurans. Penyertaan Takaful merupakan satu akad di kalangan peserta tetapi pembelian insurans adalah satu kontrak di antara penginsurans dan pemegang polisi.

5. Saluran pelaburan

Pelaburan kumpulan wang Takaful akan dilaburkan melalui instrumen pelaburan yang diharuskan dan pelaburan ini hanya akan dilakukan ke atas syarikat-syarikat yang telah dikelaskan sebagai patuh Syariah. Penentuan ini adalah berdasarkan senarai patuh Syariah yang dikeluarkan oleh Suruhan Jaya Sekuriti (SC).

Pelaburan syarikat insurans pula adalah bebas kepada semua jenis instrumen tidak mengira sama ada halal atau tidak. Ini termasuklah pelaburan ke atas syarikat perjudian dan arak.

5. Perjalanan operasi

a. Syarikat Takaful mempunyai Majlis Penasihat Syariah yang bertanggung jawab memberikan nasihat terhadap segala aktiviti termasuk pelaburan. Selain itu syarikat Takaful juga mempunyai unit Syariah yang berperanan sebagai sekretariat kepada Majlis Penasihat Syariah.

b. Pengendali-pengendali Takaful di Malaysia menggunakan dua model perniagaan Takaful iaitu model Mudharabah (perkongsian untung rugi) dan model Wakalah (agensi).

c. Segala hasil tidak halal yang diperolehi oleh pengendali Takaful tidak akan dikira sebagai pendapatan syarikat sebaliknya akan dimasukkan ke dalam tabung kebajikan. Syarikat insurans tidak mempunyai unsur ini.

d. Pengendali Takaful wajib membayar zakat perniagaan dan cukai tetapi syarikat insurans hanya membayar cukai.

6. Aspek perundangan

Pengendali Takaful tertakluk kepada Akta Takaful 1984 sementara syarikat insurans tertakluk kepada Akta Insurans 1963 (pindaan 1996).

Sebelum kewujudan Takaful, umat Islam terpaksa membeli polisi insurans. Tetapi kini dengan wujudnya banyak syarikat pengendali Takaful, maka ia bukan lagi menjad arternatif atau pilihan kepada umat Islam tetapi seharusnya umat Islam menolak insurans konvensional dan menyertai Takaful. Mudah-mudahan industri Takaful dan sistem kewangan Islam di Malaysia akan terus perkembang dengan subur agar dapat memartbatkan Syariat Islam yang syumul.

Sumber : http://ustazsaifudin.wordpress.com